Cabaran

 

CABARAN-CABARAN PELAKSANAAN AKTA PENDIDIKAN 1996


Terdapat enam cabaran utama dalam melaksanakan akta pendidikan ini . Antaranya ialah :


1. CABARAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA  

Di Malaysia , berlakunya isu ketidakseimbangan jantina dalam pencapaian akademik . Perkara ini dilihat berdasarkan kemasukan pelajar perempuan yang lebih mendominasi ke IPT berbanding pelajar lelaki . Salah satu sebab berlakunya ketidakseimbangan kerana faktor sistem pendidikan Malaysia yang berorientasikan peperiksaan . Sistem peperiksaan ini telah memberi peluang dan kelebihan  kepada pelajar perempuan yang berkebolehan menghafal , lebih fokus dan mempunyai kekuatan dalam subjek teori . Berlainan pula dengan golongan lelaki yang lebih gemar atau cenderung kepada perkara-perkara teknikal dan kemahiran yang dipelajari secara praktikal . Tambahan pula , syarat kemasukan ke IPT yang meletakkan 90 peratus bagi kecemerlangan akademik dan 10 peratus bagi penglibatan dalam bidang kokurikulum membuatkan bilangan kemasukan pelajar lelaki ke IPT terhad disebabkan oleh pelajar perempuan yang turut aktif dalam bersukan di sekolah . Disebabkan itu , kebanyakan pelajar lelaki mengambil keputusan  untuk terus bekerja selepas menamatkan persekolahan di sekolah menengah berbanding menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi kerana ekspektasi gender masyarakat bahawa lelaki merupakan penjana pendapatan keluarga . Terbukti dengan statistik pada tahun 2017 ke IPTA yang telah dikeluarkan oleh Astro Awani pada tanggal 13 Disember 2018 seperti berikut :




Berdasarkan statistik berikut kita melihat bahawa betapa besar dan jauh beza jumlah di antara kemasukan pelajar lelaki dan pelajar perempuan . Sebagai contoh di Universiti Malaya kemasukan pelajar lelaki hanya seramai 3,854 manakala pelajar perempuan pula seramai 6,583 .

Selain itu , tekanan belajar atau burn out daripada para belia menjadi isu utama . Menurut satu kajian dalam kalangan mahasiswi di Universiti Awam Kelantan , antara sebab tekanan berlaku antaranya ialah masalah kewangan yang kemudian disusuli oleh faktor masalah persekitaran universiti yang tiada kemudahan pengangkutan awam yang efisien , bebanan tugas yang terlalu banyak oleh pihak univesiti , masalah rakan sebaya , masalah percintaan dan masalah pemakanan yang tidak sesuai .

Tidak dilupakan juga tekanan belajar menjadi isu utama sejak pandemik COVID-19 melanda di negara ini . Hal ini kerana pembelajaran secara  PdPR adalah perkara baharu bagi mereka . Mereka perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya belajar sendiri tanpa bantuan guru di depan mereka atau rakan sekelas seperti kebiasaannya . Masalah lain seperti ketiadaan peranti untuk belajar dan pergerakan yang terbatas kerana perlu duduk di hadapan komputer seharian membuatkan mereka berasa terkurung dan tidak bebas bergerak . Berdasarkan data dan analisis , kes membunuh diri di kalangan remaja sangat tinggi kerana mereka berpendapat dengan membunuh diri sebagai satu-satunya jalan keluar dan sukar untuk dilalui secara bersendirian .

Antara langkah untuk mengatasi pengurusan sumber manusia ini ialah kerajaan perlulah menyemak kembali kurikulum ke arah lebih mencabar keupayaan pelajar lelaki supaya ramai golongan lelaki lebih tertarik untuk melanjutkan atau memasuki di IPT . Di samping melaksanakan sistem quota bagi kemasukan pelajar ke IPT supaya bilangan gender menjadi stabil . Seterusnya meningkatkan kualiti sistem pembelajaran di peringkat sekolah rendah sehingga menengah . Selain itu , masalah burn out dapat ditangani dengan rawatan pakar serta diberi panduan yang betul daripada pakar psikologi selain menerusi terapi yang diberikan secara profesional .


2. CABARAN PERUBAHAN MINDA RAKYAT MALAYSIA

Pada ketika ini rakyat masih mengharapkan dan melihat pendidikan ini sebagai satu alat untuk mendapatkan pekerjaan dan jawatan. Hal ini kerana mereka percaya bahawa sijil pendidikan merupakan kunci utama untuk mendapatkan bayaran tertinggi untuk kerja yang dipohon . Mayarakat juga percaya bahawa belajar membawa keuntungan dengan kata lain “belajar lebih banyak , untung lebih banyak” . Akibat daripada pemikiran mereka yang mempercayai pendidikan sebagai metod untuk mendapatkan pekerjaan , maka mereka berusaha untuk mendapatkan pesijilan tertinggi  dan pada akhirnya pendidikan di Malaysia masih tidak dapat atau masih gagal dalam mengeluarkan graduan berdikari yang mencipta peluang pekerjaan . Perkara ini sangat membimbangkan dan dipanggil penyakit ‘diploma desease’ . Diploma desease bermaksud pergantungan yang berlebihan terhadap sijil pendidikan sebagai bukti keupayaan atau merit untuk melayakkan diri dalam sesuatu pekerjaan ataupun memasuki pasaran tertentu . Mereka percaya bahawa kelayakan individu lebih penting daripada kemahiran atau pengetahuan yang dikuasai .

 Pada tahun 2008 dan 2009 ketika Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk sehingga kerajaan membuka langkah dengan membuka lebih banyak universiti awam dan swasta bagi menangani masalah pengangguran yang berlaku . Kerajaan juga telah menangguhkan kemasukan para graduan lepasan ijazah pertama ke pasaran buruh dengan memberi bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah . Kesannya berlaku ketaksepadanan pekerjaan di mana pekerja terpaksa menjawat jawatan yang lebih rendah daripada kelayakan yang dimiliki . Hal ini dapat dilihat apabila kebanyakan lambakan bakal pekerja mempunyai kelayakan pendidikan yang tinggi sedangkan kebanyakan sektor pekerjaan meletakkan syarat maksimum diploma atau ijazah pertama .

Sebagai contoh , lambakan graduan pendidikan dari 13 universiti awam yang masih mengharapkan jawatan guru sektor awam walaupun ada graduan yang sudah menamatkan pengajian 10 tahun lalu . Selain itu , seramai 4,390 lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang telah menamatkan pengajian mereka antara 2011 hingga 2020 namun dikatakan masih belum mendapat panggilan temu duga . Akibat daripada itu , ada yang terpaksa melupakan cita-cita mereka dan menukar karier lain seperti bekerja buruh kasar , pengawal keselamatan dan lain-lain .

 Isu ini menjadi lebih kritikal apabila graduan pendidikan yang menamatkan pengajian berada dalam kursus yang tidak diperlukan di sekolah seperti kursus Sejarah , Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Matematik . Hasil kaji selidik menunjukkan 800 daripada 4,390 graduan pendidikan masih menganggur . Langkah penyelesaian bagi mengatasi pengangguran di kalangan graduan ISMP adalah kerajaan haruslah membuka peluang kepada lepasan ISMP yang telah dikhususkan untuk mengajar di sekolah menengah untuk mengisi kekosongan di sekolah rendah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) .

Langkah lain adalah kerajaan boleh membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada para graduan atau mahasiswi selaras dengan kemahuan dan permintaan era global dan bersaing tinggi ini . Oleh itu , kerajaan boleh menubuhkan pusat latihan atau pendidikan yang dapat mendidik generasi muda terdedah kepada pengetahuan teknologi terkini seperti meningkatkan kecerdasan dalam pembuatan , pembelajaran mesin , arus internet dan teknologi data yang lebih besar .

Selain itu , masalah jenayah dan sosial dapat diatasi  jika kita menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan . Terdapat penekanan dalam aspek pembinaan insan melalui penerapan nilai murni dan pemahaman konsep keagamaan dalam diri generasi muda supaya mencapai matlamat . Antaranya ialah bersepadu , insan harmoni , rohani , kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan . Perkara tersebut membawa kepada prinsip hidup beragama dalam diri seseorang . Rujukan utama melalui Al-Quran dan Al-Sunnah dapat melahirkan insan berkualiti serta menzahirkan diri dengan sikap dan akhlak yang baik serta tingkah laku yang harmoni . Pemahaman konsep keagamaan dalam diri menyebabkan merasa malu untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral dan perilaku buruk seperti pecah amanah , rasuah dan sebagainya . Pendidikan yang berlandaskan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah membawa kepada tahap berfikir yang tinggi dan menguatkan akidah insan . Penekanan konsep keagamaan dan nilai murni juga dapat membina tamadun dan kesejahteraan rakyat Malaysia pelbagai kaum dan bangsa ini . 


3. CABARAN SUMBER KEWANGAN

Sumber kewangan untuk pendidikan di Malaysia berada pada tahap belum mencukupi untuk menjadikan pendidikan maju dan lebih kondusif . Seperti yang kita tahu kewangan merupakan perkara penting untuk menggerakkan sesuatu projek atau program  . Walaupun pendidikan di Malaysia menerima peruntukan terbesar daripada Parlimen setiap kali Bentangan Bajet Belanjawan iaitu sebanyak (18-22%) , tetapi nilai tersebut sebenarnya masih belum mencukupi . Sebagai contoh ,  negara kita semakin berhadapan dengan cabaran dunia yang menggesa prasarana untuk ditambah baik di semua institusi pendidikan agar kondusif dan sesuai dengan tuntutan pendidikan semasa . Contoh lain , teknologi pembelajaran yang belum mencukupi sesuai dengan teknologi terkini perlu dipertingkatkan agar suasana pembelajaran dan sistem pendidikan dapat dijana dengan baik sesuai dengan teknologi globalisasi kini . 

Sejak pandemik virus COVID-19 berlaku , proses pembelajaran dan pengajaran di Malaysia telah bertukar dari secara bersemuka ke atas talian . Banyak isu dan masalah yang timbul semasa proses PdPR dijalankan . Antaranya  proses PdPR yang dijalankan telah menimbulkan jurang pendidikan yang besar antara murid di bandar dan luar bandar , selain yang miskin dan yang kaya . Hal ini kerana PdPR memerlukan gajet serta data yang mencukupi semasa kelas atas talian berlangsung . Isu ini memberi kesan yang mendalam terutama golongan B40 kerana ada yang tidak mampu untuk membeli internet dan telefon atau laptop untuk anak-anak mereka .

Selain itu , jurang pendidikan berlaku melibatkan isu sekolah daif . Walaupun selepas 63 tahun merdeka, masih ada lebih 600 buah sekolah daif dan kekurangan prasarana dan kemudahan pembelajaran terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman . Mereka masih menggunakan stesen jana kuasa kerana tiada kemudahan elektrik .

Melalui permasalahan tersebut , kerajaan dan dengan kerjasama pihak industri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  telah mengambil langkah dengan mewujudkan pakej bantuan untuk golongan yang tidak berkemampuan dengan menyediakan bantuan gajet dan menyediakan prasarana internet yang lebih besar kepada murid yang berkeperluan . Tambahan pula , cadangan kerajaan untuk meningkatkan jalur lebar dalam negara dengan melaksanakan 5G pada masa akan datang bagi memberi faedah dan kebaikan kepada pendidikan atas talian dan masyarakat Malaysia .

Selain itu , kerajaan juga telah melaksanakan pembelajaran melalui saluran televisyen untuk mengurangkan bilangan keciciran pelajar dalam PdPR . Saluran RTM terpilih  menjadi platform pembelajaran . KPM juga telah menyediakan jadual waktu kelas daripada Tahun  Satu hingga Tingkatan Enam dan melantik beberapa guru pakar untuk membuat video pengajaran bagi setiap topik .

Seterusnya , dalam langkah lain kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang lebih besar dalam belanjawan tahunan . Dengan itu , kerajaan dapat menyelesaikan masalah prasarana yang tidak cukup di sekolah-sekolah terutama sekolah di Sabah dan Sarawak . Penyediaan dan pembangunan prasarana yang terbaik , cekap dan berkesan wajar diberi tumpuan  kerana berupaya dalam melahirkan generasi yang berpengetahuan , berkemahiran , kreatif dan inovatif . Selain itu , persekitaran pembelajaran yang kondusif dapat melahirkan suasana seronok untuk belajar serta meningkatkan prestasi pelajar seperti penggunaan bilik darjah untuk aktiviti yang sesuai dan penyediaan bilik-bilik khas .


4. CABARAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENGANTAR

Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan atas peranan Bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa pemersatu . Bahasa pemersatu di sini bermaksud bahasa yang digunakan untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia . Semua sekolah yang terdiri daripada sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular haruslah menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama termasuk institusi pengajian tinggi juga . Bagi merealisasikan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara , dalam Penyata Razak 1957 dinyatakan bahawa Bahasa Melayu harus dijadikan asas dalam pengajaran dan pembelajaran .



 Walaupun begitu , Bahasa Melayu masih tidak dapat lagi dimartabatkan dalam pendidikan sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan di Malaysia . Kita boleh melihat walaupun setelah negara kita mencapai 64 tahun merdeka dan 44 tahun juga pelaksanaan sepenuhnya dasar Bahasa Melayu , penggunaan Bahasa Melayu masih menerima tamparan hebat kesan daripada akta-akta yang telah diluluskan di mana Bahasa Inggeris dibenarkan digunakan sebagai bahasa pengantar di mana-mana institusi Pengajian Tinggi Swasta . Sebagai contoh , Akta Institusi Pengajian 1996 dan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 diluluskan . Selain itu , Bahasa Melayu juga tidak dijadikan bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran .


 Sepatutnya Bahasa Kebangsaan mestilah menjadi bahasa pengantar di semua institusi pendidikan di dalam langkah kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kecuali di beberapa buah sekolah seperti Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)  atau institusi pendidikan yang telah dikecualikan oleh menteri . Namun , langkah lain boleh diambil bagi mengukuhkan penggunaan dan pengetahuan Bahasa Melayu kerana dilihat walaupun Bahasa Melayu menjadi mata pelajaran wajib lulus namun sebilangan murid berbangsa Cina dan Tamil masih lagi kurang dalam menguasai Bahasa Melayu seperti mengutamakan guru berbangsa Melayu atau guru yang berpengalaman untuk mengajar subjek Bahasa Melayu di sekolah dan kerajaan mengadakan sukatan pelajaran yang berbeza bagi subjek Bahasa Melayu .

Selain itu , kerajaan boleh menguatkuasakan undang-undang dan mewajibkan merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam urusan istilah yang tepat . Kerajaan telah memberi DBP kuasa undang-undang dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan . Tugas DBP adalah menegur dan menasihati pihak yang melanggar undang-undang atau akta berkaitan . Sebagai contoh DBP memantau dalam urusan nama program di majlis rasmi kerajaan seperti nama program pakej bantuan PERMAI , PENJANA , PRIHATIN , PEMERKASA DAN PEMULIH . DBP juga bertanggungjawab menggubal istilah yang tepat seperti istilah bidang kesihatan awam pelitup muka , sekatan pergerakan , kawalan kendiri , lesu upaya dan lain-lain .

Bahasa kebangsaan ialah lambang yang mewakili negara . Penggunaan Bahasa Melayu secara meluas dapat memupuk semangat cinta akan Bahasa Kebangsaan . Bahasa merupakan lambang jati diri dan entiti kebangsaan . Bahasa juga melambangkan keyakinan diri dan minda tidak terjajah . Fungsi lain bahasa ialah sebagai penyatuan . Bahasa boleh menjadi alat yang menghubungkan semua dialek dengan satu bahasa yang sama . Bahasa pengantar utama yang sama di sekolah-sekolah juga akan merealisasikan hasrat negara Malaysia yang ingin mewujudkan satu bangsa yang dinamakan bangsa Malaysia .


5. CABARAN ISU PERPADUAN KAUM 


Kita sedia maklum bahawa masyarakat di negara kita adalah masyarakat yang majmuk yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan bangsa seperti Melayu , Cina dan India . Maka , salah satu tujuan Akta Pendidikan ini digubal untuk penyatuan semua kaum di Malaysia melalui pendidikan . Namun , sehingga ke hari ini masih wujud tanda-tanda kelemahan dan hubungan kaum di Malaysia . Kita dapat melihat apabila setiap kaum masih dengan sikap kaum masing-masing kerana masih mengekalkan identiti kaum sendiri . Pengekalan identiti kaum masing-masing ini termasuk dari segi bahasa , budaya , ekonomi dan politik . Di mana , disini dapat kita lihat identiti satu bangsa masih tidak dapat diwujudkan dan kebanyakan ekonomi masih dikuasai atau dimonopoli orang Cina .

Masalah ini dapat ditelusuri apabila keadaan politik di negara kita sering membangkitkan isu sensitif mengenai bahasa , budaya , agama , kerakyatan , ekonomi atas tujuan politik sehingga memberi impak negatif kepada rakyat . Selain itu suasana politik di negara kita yang berasaskan kaum . Perkara ini dilihat apabila kaum Melayu mempunyai parti politik sendiri seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO , Parti Islam SeMalaysia atau PAS manakala kaum Cina dan India masing-masing mempunyai parti  Persatuan Cina Malaysia atau MCA dan Kongress India Malaysia atau MIC yang mempertahankan hak kaum masing-masing . Namun isu politik yang berasaskan kaum ini diatasi apabila penubuhan parti Barisan Nasional yang merupakan sebuah parti majoriti yang dianggotai oleh 13 buah parti komponen . Dengan itu , sedikit sebanyak dapat menghakis perasaan perkauman di kalangan rakyat Malaysia .

Selain itu , jurang ekonomi yang berbeza telah wujud sejak zaman penjajahan British di Tanah Melayu . British telah menempatkan kaum-kaum kepada sektor-sektor ekonomi yang berbeza . Sebagai contoh , kaum Melayu ditempatkan di sektor pertanian yang berada di luar bandar . Kaum  Cina pula ditempatkan di sektor perdagangan atau perniagaan yang melibatkan teknologi tinggi . Kaum India pula terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit . Tinggalan British terhadap pembahagian ekonomi telah memberi kesan kepada keadaan ekonomi sekarang . Isu ini juga sering menjadi topik dalam kalangan masyarakat sehingga merosakkan hubungan antara kaum kerana masing-masing ingin mempertahankan hak kaum masing-masing .

Kerajaan telah mengambil langkah dan inisiatif dalam menghapuskan monopoli sesuatu kaum terhadap ekonomi dengan melaksanakan dasar-dasar dan melaksanakan pelan  tindakan khas seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990 , Dasar Pembangunan Negara (DPN) 1991-2000 , Dasar Wawasan Negara dan Program 1 Malaysia . DEB diwujudkan untuk mempertingkatkan penglibatan kaum bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan sebagai usaha untuk membasmi perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat . Selain itu , Dasar Wawasan Negara atau lebih dikenali dengan Wawasan 2020 merupakan usaha kerajaan untuk mengembangkan ekonomi , sosial dan politik pada peringkat nasional dan antarabangsa serta menitikberatkan pembangunan menyeluruh dan meliputi aspek-aspek politik , ekonomi , sosial , kerohanian , kejiwaan dan kebudayaan . Tujuannya untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan mempunyai nilai moral dan etika yang utuh , penyayang , adil , saksama dan berkeyakinan . Tambahan pula , Konsep 1 Malaysia juga dapat mewujudkan kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat .

Seterusnya , kerajaan hendaklah mengubah atau membaik pulih sistem pendidikan dengan menerapkan mata pelajaran pelbagai budaya . Kesannya masyarakat pelbagai kaum akan lebih menghargai , menghormati serta memahami budaya dan adat resam kaum lain . Selain itu , sikap toleransi dan tolak ansur sesama kaum juga dapat diwujudkan . Antara contoh budaya dan adat resam utama sesuatu kaum adalah seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bagi kaum Melayu , sambutan Gong Xi Fa Cai bagi kaum Cina , Deepavali dan juga Thaipusam bagi kaum India yang beragama Hindu dan perayaan Krismas bagi penganut Kristian . Tidak dilupakan juga kerajaan boleh memperkenalkan kurikulum keinsanan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan bangsa ini .


6. CABARAN MENJADIKAN MALAYSIA PUSAT KECEMERLANGAN PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA 

Sehingga kini Malaysia masih tercari-cari formula untuk meningkatkan kedudukan dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) , Programme International Student Assessment (PISA) dan ranking universiti selepas melihat negara Malaysia berada pada kedudukan sepertiga terbawah di antara 74 buah negara . Malaysia juga masih menghantar pelajar-pelajar ke luar negara dan melihat negara maju sebagai acuan untuk membangunkan pendidikan negara . Sebagai contoh negara maju di Asia ialah Singapura . Malaysia berdepan kekecewaan apabila gagal dalam menarik pelajar-pelajar cemerlang dari negara maju untuk belajar di Malaysia .

Kedudukan Malaysia dalam PISA menunjukkan keputusan yang tidak memuaskan apabila tiga bidang yang diuji iaitu Literasi Bacaan , Matematik dan Sains masih berada pada tahap yang rendah dan merosot . Salah satu punca utama ialah kerana pelaksanaan kurikulum yang kurang menekankan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) , menyebabkan murid kurang mampu untuk mengaplikasikan kemahiran semasa menjawab ujian PISA kerana  kebanyakan soalan yang diutarakan dalam ujian PISA adalah soalan KBAT . Ketika itu , pentaksiran PISA masih belum disedari kepentingannya oleh guru dan murid sedangkan pentaksiran tersebut merupakan kayu ukur bagi mengukur kualiti pendidikan di Malaysia .

 Selain itu , format PISA yang dalam bentuk teks panjang dan memerlukan murid untuk membuat interpretasi , refleksi dan penilaian berdasarkan kehidupan sebenar membuatkan murid tidak biasa kerana format ujian bulanan dan tahunan yang berlainan seperti lebih kepada teks ringkas , dan tertumpu kepada rajah dan jadual . Murid juga tidak biasa dengan soalan yang bersifat terbuka dan bukan rutin .

Oleh itu , kerajaan mengambil inisiatif dan menambah baik pelaksanaan KBAT dan PBS dalam pendidikan . PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif , afektif , psikomotor dan sosial murid selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan . PBS dilaksanakan bertujuan untuk melihat kemajuan dan perkembangan pelajaran serta pencapaian prestasi murid secara menyeluruh dan saksama . Pelaksanaan KBAT mementingkan tiga elemen antaranya kurikulum , pedagogi , dan pentaksiran . Selain itu , program i-Think pula adalah program untuk meningkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid untuk melahirkan generasi yang mampu berinovasi .


Seterusnya , kerajaan menyemak semula dan menggubal kurikulum dan program seperti Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) . Kewujudan PPPM dapat menangani cabaran dan mengubah sistem pendidikan negara ke arah lebih memenuhi keperluan ekonomi global yang semakin kompetitif . Sebagai contoh , PPPM membangunkan modul latihan Matematik dan Sains bagi menangani jurang dalam kemahiran yang diuji dalam PISA dan TIMSS serta bayang-bayang format soalan PISA dan TIMSS . Kerajaan juga menambah baik sistem penilaian kebangsaan dengan memasukkan unsur KBAT dalam ujian . Sebanyak 40 peratus dimasukkan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus KBAT di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) . Akhir sekali , kerajaan boleh memaksikan kepada keunikan masyarakat dan ekonomi Malaysia supaya pelajar dari luar tertarik untuk menyambung pelajaran mereka di Malaysia kerana keunikan yang terdapat di negara kita serta kerajaan boleh memaksimakan kepakaran rakyat Malaysia sebagai langkah untuk mengatasi cabaran dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang cemerlang dalam mencapai pendidikan bertaraf dunia .

No comments:

Post a Comment

Pengenalan

AHLI KUMPULAN   PENGENALAN OBJEKTIF Menerangkan fungsi Akta Pendidikan 1996 dan kesesuaian pendidikan abad-21 Menjelaskan peranan Akta Pen...